Pada suatu hari, sepasang suami isteri sedang makan di rumah mereka. Tiba-tiba pintu rumah diketuk oleh seorang pengemis. Melihat keadaan pengemis yang daif itu, si isteri berasa terharu dan mahu memberi makanan kepadanya. Tetapi sebagai isteri yang taat dan patuh pada suaminya, dia meminta izin terlebih dahulu. "Bolehkah saya memberi makanan kepada pengemis itu?"
Rupa-rupanya sikap si suami berbeza dengan si isteri. Dengan lantang dan kasar, dia menjawab, "Tidak payah. Halau sahaja dia dan tutup pintu!" Wanita berhati mulia itu terpaksa menurut perintah suaminya dan tidak memberikan makanan kepada pengemis.
Tidak lama selepas itu, perniagaan si suami mengalami kemerosotan dan akhirnya bankrup. Dia terpaksa menanggung banyak hutang. Selain itu, disebabkan sifat dan tabiat suami isteri berbeza, rumah tangga mereka menjadi huru hara dan akhirnya bercerai.
Tidak lama selepas tempoh iddahnya tamat, wanita itu berkahwin semula. Kali ini dia berkahwin dengan seorang ahli perniagaan di kota dan hidup bahagia. Pada suatu hari, semasa wanita itu sedang makan dengan suami barunya, pintu rumah mereka diketuk orang. Apabila pintu dibuka, ternyata tetamu yang tidak diundang itu adalah seorang pengemis. Wanita itu berasa sedih melihat keadaan pengemis yang daif. Lantas dia berkata kepada suaminya, "Bolehkah saya memberi makanan kepada pengemis ini?"
"Ya, berilah makanan kepada pengemis itu." Selepas memberi pengemis itu makanan. Si isteri masuk ke dalam rumah sambil menangis. Dengan perasaan hairan, si suami bertanya, "Mengapa kamu menangis? Adakah kerana saya menyuruh kamu memberi daging ayam kepada pengemis itu?"
Si isteri menggelengkan kepalanya lalu berkata dengan sedih, "Saya sedih dengan perjalanan takdir yang menkjubkan. Kamu tahukah siapa pengemis yang ada di luar tadi? Dia adalah bekas suamiku." Mendengar penjelasan isterinya, si suami berasa terkejut, tetapi dia bertanya lagi, "Tahukah kamu siapa saya yang kini menjadi suami kamu? Saya adalah pengemis yang dahulu dihalaunya!"